Internet-webhosting

Sunday, February 05, 2006

Saturday live concert SEARCH at Life Centre

Image hosting by Photobucket

Siapa yang tak kenal dengan AMY, KID, DIN, NASIR dan YAZID? Ahli kumpulan SEARCH yang pernah menggegarkan dan masih menggegarkan industri muzik tanahair dan irama Rock khususnya. Kumpulan yang pernah dianugerahkan sebagai Pemenang Anugerah Juara Lagu pada suatu ketika dulu dan tidak lama lagi akan mengeluarkan sebuah album lagi yang bertajuk EMPIRE GARDEN. Kemelut yang terdapat di dalam SEARCH tidak lama dulu bukan penghalang bagi kumpulan ini untuk terus bertapak di persada seni tanahair.

Sebelum ini, SEARCH pernah mengadakan konsert di Stadium Merdeka dan baru-baru ini SEARCH mengadakan sebuah lagi konsert yang diadakan di LIFE CENTRE (Channel Dance Club) pada 4 Februari 2006 bersempena dengan 25 tahun penubuhannya. Konsert yang dijadualkan bermula pada pukul 4 petang tertangguh selama 1 1/2 jam atas sebab-sebab teknikal. Kemunculan suara Rockers (Isma Halil Hamzah) dapat mengawal para penonton dan mampu menghiburkan penonton dengan celoteh dan putaran lagu-lagu evergreen yang pernah didendangkan oleh kumpulan SEARCH.

2 jam konsert berlangsung, SEARCH telah mendendangkan lebih dari 14 buah lagu yang pernah popular di era 80an dan 90an yang diantaranya adalah dari album Cinta Buatan Malaysia, Fenomena dan Rampage. Terdapat juga beberapa gabungan lagu yang dipersembahkan secara madley.

SOUND SYSTEM

Sistem bunyi yang terdapat pada konsert tersebut bagi saya kurang memuaskan kerana suara penyanyi (Amy) kurang jelas. Bunyi bass (Nasir) dan dram (Yazid) terlalu menonjol sehingga menenggelamkan suara penyanyi. Manakala sistem bunyi bagi gitar utama (Kid) kurang menyerlah dan kedengaran seperti sayup-sayup kedengaran. Kesan bunyi dari pemain gitar kedua (Din) pula seperti bermain secara 'miming' dan hanya kedengaran apabila saya menyatukan cara petikannya dan menfokuskan kesan bunyinya.

SHOWMANSHIP

Persembahan yang amat bertenaga dan tidak dapat disangkal bahawa SEARCH dulu dan sekarang masih menyengat dan unggul. Kelincahan anggota kumpulan SEARCH khususnya AMY masih menyerlah. Faktor umur bukan penghalang bagi ahli kumpulan ini. Dari pukulan dram, petikan gitar dan suara penyanyi masih ditahap yang membanggakan. Interaksi bersama penonton juga amat menarik.

Bagi saya, sebagai penonton dan juga peminat kumpulan SEARCH, secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan konsert yang diadakan. Berbaloi dengan apa yang telah saya korbankan. Semoga di masa akan datang, konsert-konsert seperti ini akan dapat diadakan lagi bagi mengembangkan dan menghidupkan semula irama 'Rock Kapak' yang semakin tenggelam. Menyaksikan konsert ini mengimbas kembali nostalgia zaman remaja dan zaman persekolahan saya dahulu. Zaman seluar ketat, kasut tinggi dan 'buckle besar'. Semoga SEARCH sentiasa unggul dan sentiasa menyengat. Untuk keterangan dan cerita-cerita menarik mengenai kumpulan SEARCH, jangan lupa untuk melayari duniasearch dan search4fan khas dibawa oleh SEARCH untuk anda.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

rg/dc/dcmitype/StillImage" /> -->